Skip to Main Content

Bilik Pameran Karya Seni Pertukangan Tuan Lu Ban

Bilik pameran karya seni pertukangan Tuan Lu Ban telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai sejak Julai 2015 di Bangunan Persatuan Tukang Kayu di no. 39-41 di Rua de Camillo Pessanha.

Bangunan Persatuan Tukang Kayu telah dibina pada tahun ke-20 pemerintahan Maharaja Daoguang semasa Dinasti Qing (sekitar 1840), merupakan salah satu bangunan persatuan profesional yang terawal dalam sejarah Macao. Di antara tahun 2013 dan 2014, Biro Hal Ehwal Kebudayaan bekerjasama dengan Kesatuan Perdagangan Pertukangan Macao untuk menjalankan usaha pemulihan bangunan ini. Dengan ini, penghormatan dapat diberikan terhadap karya seni yang disumbangkan oleh Tuan Lu Ban dan mewujudkan ruang untuk mempamerkan karya seni pertukangan tradisional Macao, sekali gus meningkatkan kesedaran antara penduduk mengenai aktiviti ini dan kesatuan itu sendiri dan pada masa yang sama, memulihkan ruang kebudayaan yang penting. Usaha pemulihan adalah termasuk menghalang air mengalir masuk ke dalam bangunan dan menyingkirkan garam dari dinding di tingkat pertama di bilik altar Tuan Lu Ban, membaiki batu-bata, memperkukuhkan skruktur bangunan dan membuka tingkap yang terpasang di bumbung. Kerja pemulihan turut melibatkan pengubahsuaian bilik yang dahulunya digunakan untuk aktiviti kesatuan kepada bilik pameran teknik pertukangan tradisional, bersama-sama dengan dewan utama bilik altar Tuan Lu Ban dan halaman luaran menjadikan bilik pameran karya seni pertukangan Tuan Lu Ban mempunyai keluasan 172 meter persegi.

Buat masa ini, dewan utama altar memaparkan versi besar 'Lu Ban So', yang juga dikenali sebagai Kunci Tuan Lu Ban, manakala bilik pameran dipamerkan melalui objek-objek peralatan dan multimedia, lebih daripada 80 alat kayu tradisional, termasuk gergaji, pengetam, gerudi dan penanda dakwat dan juga maklumat tentang riwayat hidup Lu Ban termasuklah hasil ciptaan dan teknik pertukangannya. Selain itu, komponen bangunan yang dibina dengan menggunakan struktur tanggam dan duri sendi dipamerkan dan peralatan kayu disediakan untuk kegunaan pengunjung. Semua ini menunjukkan teknik pertukangan tradisional dan ilmu yang diturunkan dari generasi ke generasi, membolehkan pengunjung memahami dengan lebih baik mengenai teknik pertukangan dan pembuatan secara tradisional. Sebagai tambahan, Pusat Pendidikan Lanjutan dan Projek Khas dari Institut Politeknik Macao menyediakan bahan-bahan sejarah dan dokumen serta kisah-kisah dokumentari yang dapat meningkatkan lagi kandungan bilik pameran karya seni pertukangan Tuan Lu Ban.

Sumber: Biro Hal Ehwal Kebudayaan